Saturday, January 26, 2008

Menggapai Bayang Semalam: 01

Tanpa sedar Arman sudah melewati dua jambatan yang dahulunya tempat dia dan rakan-rakan bertandang tiap kali menjelang petang selepas pulang dari sekolah. Daerah itu sangat tidak asing baginya. Cuma struktur bentuk muka buminya sahaja sedikit berubah. Arman toleh ke belakang… air sungai agak cetek berbanding satu ketika dahulu; deras dan dalam. Hampir setiap hari juga Pak Atan memekik menghambatnya pulang. Keriuhan memecah keheningan remang senja. Terkocoh-kacah Arman dan rakan-rakan menyarung pakaian dengan harapan dapat lari dari libasan rotan halus.

Pak Atan tidaklah segarang mana, namun dia tegas dalam mendidik Arman. Sebetulnya Arman sedar bahawa Pak Atan sayang padanya. Masakan tidak, baru sebulan lepas dibelikan Arman basikal chopper habuan nombor tiga dalam peperiksaan penggal pertengahan. Cuma kadang-kadang, dia agak rimas dengan perangai Pak Atan yang sedikit mengongkong pergaulannya. Pernah Arman mengeluh, “
Ala mak… Arman bukan ke mana pun. Mandi sungai je. Kawan-kawan pun bukan orang lain, budak-budak kampung ni jugak. Ayah tu semua tak boleh. Sakit belakang Arman tau”. Berbilai badan Arman disesah oleh Pak Atan. “Ha, padan muka kamu. Dah kamu tau bapak kamu tu garang. Pergi la mandi sungai lagi”, balas Mak Elah spontan sambil menumbuk lesung berisi lada. Jarang sekali Mak Elah menangkan Arman, dia faham akan tindakan Pak Atan. Selalu juga jika dirasakan tidak cukup penangan yang Pak Atan beri, dia pula akan menambah secukup rasa… paling kurang pun cubitan berbisa hinggap di peha.

Dalam kesakitan menahan perit sempat juga Arman mencuri pandang ketulan-ketulan daging ayam di dalam mangkuk besar berwarna biru di sebelah Mak Elah. “Mak, masak kicap tau ayam tu…”, pinta Arman separa merayu. “Dah dah, pergi mandi! Kang ada bapak kamu mengamuk lagi. Lepas mandi jangan lupa sembahyang!”, sempat juga Mak Elah berpesan dalam sibuk berseorangan menyediakan hidangan malam untuk mereka tiga beranak.

Ya, Arman satu-satunya anak tunggal bagi kedua merpati sejoli berusia lewat 40-an itu. Namun didikan yang diberikan untuk Arman tidak tumpah seperti menjaga anak yang ramai layaknya. Arman kadang kala merasakan seperti mempunyai dua orang adik-beradik yang lain sama seperti nasib Shukor yang tinggal bersebelahan di rumahnya. Shukor, rakan sebaya yang terpaksa berkongsi apa saja yang diberikan kepadanya dengan 2 orang adik yang lain. Usia mereka rapat-rapat belaka; Shukor 14 tahun, Shukri 13 tahun dan Shukran 11 tahun.

Pernah terfikir dibenak Arman, bagaimana Pak Seman dan Mak Siti begitu produktif? Malah pernah juga dia menyampuk menanyakan soalan yang boleh disifatkan kurang sopan kepada Pak Seman sendiri ketika orang tua berbadan gempal ini duduk berbual di beranda bersama ayahnya. “Pak Seman dengan Mak Siti produktif, kan?”, perkataan moden yang dipelajari di sekolah sebelah pagi tadi digunakan Arman sebaiknya. Pertanyaan Arman disahut tawa berdekah Pak Seman, sementara Pak Atan kemerahan mukanya terpempan di sudut beranda menahan marah… dan mungkin juga terkejut bercampur aib mengenangkan soalan tak makan saman oleh Arman. Cepat sahaja Arman bingkas bangun meminta diri sebelum penampar hinggap ke pipi. Namun ketika di dapur kedengaran ayahnya turut berdekah sama dengan Pak Seman di beranda. Berkerut dahi Arman, tak faham situasi yang melanda.

Dia lantas turun ke tanah melalui pintu belakang, menyarung selipar yang baru dibeli di pekan beberapa hari lalu dan bergegas ke destinasi biasa iaitu sebatang sungai yang tidak begitu jauh dengan warung Pak Jamil. Warung Pak Jamil menjadi persinggahan tetap Arman dan rakan-rakan sebelum mahupun selepas bersabung jiwa raga beriadah serta berkubang di Sungai Simpang Tiga. Nama sungai ini diberikan oleh penduduk Kampung Simpang Tiga sendiri sempena nama kampung tersebut dan sesuai dengan kedudukannya yang merentasi salah satu cabang jalan simpang tiga di situ.

Warung Pak Jamil pula sangat istimewa. Selain air batu campur dan pisang goreng panas Pak Jamil, sebenarnya Arman dan rakan-rakan lebih gemar melepak bermain dam haji sambil menjeling-jeling Milah, anak dara Pak Jamil yang seusia dengannya. Milah terkenal dengan kecantikan dan keramahan. Tak kurang juga kesopanan dan tatasusila Milah menjadi idaman pakcik serta makcik Kampung Simpang Tiga untuk dijadikan menantu. Walaupun baru berusia sebaya Arman, kredibiliti calon menantu terbaik dalam peringkat daerah telah pun terserlah seadanya. “Sejuk perut mak kau mengandungkan kau, Milah”, ayat ini sering meniti di bibir penduduk kampung memuji kewibawaan Milah. Namun kecemerlangan Milah tidak sempat disaksikan oleh isteri Pak Jamil, Mak Senah ibu kandung Milah. Dia dah lama meninggal dunia sejak Milah berusia 6 tahun lagi. Jadi kebanyakan hal-ehwal perniagaan diuruskan oleh dua beranak ini saja.

Seperti Arman, Milah juga anak tunggal. Dan mengikut telahan Arman, Milah akan tetap kekal satu-satunya anak Pak Jamil. Melainkan jika Mak Munah, janda anak empat yang tinggal selang tiga buah rumah dari rumah Arman berjaya memikat hati Pak Jamil. Tapi dia amat berharap supaya perkara itu tidak terjadi, sebab Arman kurang mesra dengan Mak Munah gara-gara menuduh Arman mengajak anak sulungnya, Kamal mandi sungai. Padahal kalau bukan si Kamal yang ajak dia ke sungai itu dulu, kebarangkalian besar Arman sedang duduk atau berbaring bersenang-lenang di hadapan TV pada setiap petang menonton Gaban, Kesatria Baja Hitam mahupun Ultraman.

Memandangkan perkara ini sudah tentu dia tak sanggup bermertuakan Mak Munah. Apatah lagi beriparkan Kamal, rakan seperjuangan mandi sungai dan rakan komplot curi durian Pak Kassim, pengusaha tanaman kontan di kampung sebelah. Dia sanggup melakukan apa saja demi menghalang niat Mak Munah. Sama ada benar atau tidak anggapan Arman terhadap Mak Munah, tak dapat nak dipastikan kesahihannya. Walau apa pun, keyakinannya bertambah tinggi tiap kali memerhatikan Mak Munah sering ke warung Pak Jamil membeli air batu campur. Sementelah lagi apabila terserempak dengan Arman, Mak Munah akan mencebik kepadanya.

Itu semua sebenarnya tidak menjadi hal besar, akan tetapi ada satu perkara yang amat merungsingkan hati Arman. Kelmarin Kamal ada beritahu yang dia sukakan Milah. Parah!

Imaginasi Arman menerawang pertumpahan darah di pelusuk kampung, dia mengamuk menagih cinta suci Milah. Sesiapa yang menghalang akan kecundang di hujung keris pusaka peninggalan arwah datuknya. Namun begitu, kerungsingan Arman tak bertahan lama. Sebaik saja Kamal membelanjanya dua mangkuk air batu campur, amarah dan kebimbangan pudar serta-merta. Kamal yang dianggap sebagai musuh utama dalam pergelutan cinta tiga segi itu akan menjadi manusia teragung di segenap benua oleh Arman setiap kali Kamal membelanja. Begitu murah cintanya. “Hehe…”, Arman ketawa kecil di dalam hati.

Jauh di sudut hati Kamal untuk memusuhi Arman dan tidak pula dia tahu bahawa Arman juga menaruh hati terhadap Milah. Mungkin juga Kamal akan memesan air batu campur racun jika mengetahui duduk perkara sebenar. Pertumpahan darah di pelusuk kampung akan berleluasa, dia mengamuk menagih cinta suci Milah. Sesiapa yang menghalang akan kecundang di hujung keris pusaka peninggalan arwah datuknya saling tak tumpah seperti situasi Arman sebentar tadi. “Ish, ni apa ada lalat dalam mangkuk ni?”, lamunan Arman terganggu dek lalat yang secara sukarela membunuh diri.

Tin! Tin! Kedengaran bunyi hon memecah suasana. Mata Arman dan Kamal tertumpu kepada susuk tubuh yang sangat mereka kenali. Milah turun dari motosikal Honda Cup berlampu bulat pemberian Pak Jamil. Senyum menyeringai dan melambai ke arah mereka berdua sambil tangan kanannya membimbit sebuah beg plastik besar berisi barang keperluan warung. Dia terus menuju ke arah belakang.

“Baru balik dari pasar la tu”, ujar Kamal selamba. Arman mengangguk tanda setuju dan kembali menghirup air batu campur di depannya.

Tinn! Tinnn!! Tinnnn!!! Sekali lagi hon berbunyi. Namun kali ini lebih kuat dan bingit. Sebuah lori memasuki jalan kampung yang kecil namun bertar membunyikan hon berkali-kali ke arah Arman. Dia tersentak. Entah bila agaknya dia memberhentikan kereta di pinggir jalan. Dia kurang pasti. Dengan mata kelat separa mamai, Arman mengarahkan kereta betul-betul di tepi jalan. Kali ini dekat benar dengan warung Pak Jamil. Direnungnya segenap ruang luar dan dalam warung tersebut. Kelihatan agak usang berbanding dahulu. 15 tahun bukan jangka masa yang sekejap dan dalam tempoh masa itu juga jarang-jarang sekali dia memerhatikan secara terperinci hal yang berlaku di kampung halamannya itu.

Itu belum ditolak dengan 4 tahun Arman menghilangkan diri. Seluruh kampung tidak tahu ke mana Arman pergi. Selepas menamatkan pengajian di sebuah universiti di Kuala Lumpur, Arman menghaibkan diri begitu saja. Paling tidak pun Arman ada sekali-sekala menelefon ibu bapanya dalam tempoh masa kehilangannya dulu. Pun begitu jika ditanya di mana dia berada, Arman tetap enggan memberitahu. Sebab utama masih tidak diketahui penduduk Kampung Simpang Tiga mahupun ibu bapanya sendiri. Akan tetapi kepulangan Arman tetap disambut baik oleh semua terutama sekali keluarga dan rakan-rakannya ketika kecil dahulu. Antara yang paling gembira tentu sekali Kamal, rakan karib Arman yang dulu jarang berenggang walau ke mana pun kecuali apabila balik rumah dan ketika keduanya dikejar oleh Pak Atan kerana mandi sungai. Sudah pasti mereka bertempiaran membawa hala tuju masing-masing!

Kamal tidak seperti dahulu. Wajahnya sugul. Senyumnya seakan dipaksa seperti menyimpan seribu derita yang kalau diceritakan tentu mengundang air mata, terutama sekali buat Arman. Arman patut bersyukur kerana walaupun Pak Atan dikenali sebagai antara bapa yang tergarang di Kampung Simpang Tiga, bapanya masih tetap menekankan perihal pendidikan dan hal ehwal sosial anaknya yang seorang itu. Pernah sekali Pak Atan menerjah masuk rumah kosong tempat Arman berjudi dengan rakan-rakannya ketika dia berusia 17 tahun. Akibatnya, Arman dikenakan perintah berkurung berbulan lamanya bagi memastikan dia berkelakuan baik dan mengulangkaji pelajaran di rumah. Kalau Pak Atan tidak berbuat demikian alamat bungkuslah keputusan Sijil Pelajaran Malaysia Arman dan peluang untuk mencium dinding universiti pun belum tentu Arman akan dapat.

Tapi tidak pula buat Kamal. Nasib tidak menyebelahi dirinya. Kamal kandas dalam percaturan hidup. Dia hanyut. Kamal sendiri beritahu Arman bahawa dia menyesal dan kalau boleh kembalikan masa lampau, dia nak betulkan balik apa yang tak betul. Dan kalau boleh, dia tak nak berkubang di Sungai Simpang Tiga. Sebaliknya lagi bagus kalau dia dan Arman melepak bersenang-lenang saja di hadapan TV pada setiap petang menonton Gaban, Kesatria Baja Hitam mahupun Ultraman. Masalahnya, Kamal tidak gemar filem/drama fiksyen sains. Dia lebih gemarkan realiti, cabaran dan kehidupan di luar berbanding di rumah.

Dulu seingat Arman, sebenci-benci Mak Munah kepadanya, pernah juga Mak Munah berjumpa Arman dan memintanya supaya mengajak Kamal belajar bersama. Dan Arman juga masih ingat dalam usahanya mengajak Kamal belajar bersama, dia akhirnya kecundang dengan pujuk rayu Kamal untuk menemaninya berjudi. “Ala… main daun terup je. Bukan judi pun! Lepas main terup kita belajar la”, jelas Kamal sejurus sebelum Arman menyedari bahawa dirinya sudah dikelentong apabila di hadapan matanya terdapat setimbun syiling 50 sen dan dia sendiri sedang menaakul daun terup yang diberikan kepadanya. Arman masih ingat lagi. Ingat seingat-seingatnya.

Oleh kerana itu juga, Pak Atan tak teragak-agak membakar rumah kosong tersebut dan menerajang Arman di depan warung Pak Jamil. Nasib Arman agak baik kerana Pak Jamil sempat menenangkan Pak Atan. Kalau tidak tentu koma Arman Pak Atan kerjakan. Pak Atan kecewa. Tentu saja darahnya mendidih melihat anaknya berbuat sedemikian. Jatuh saham kelelakian Arman di depan Milah kerana diterajang dengan sadis oleh bapanya. Ekoran kejadian itu, Pak Atan digelar penduduk Kampung Simpang Tiga sebagai arsonist dan pendera anak. Mak Elah tetap diam. Dia nyata faham tindakan suaminya itu. Cuma Arman saja yang kurang faham Pak Atan, lalu hampir berminggu-minggu juga Arman tidak bertegur sapa dengan bapanya.

Setelah mendengar cerita dan ungkapan sejarah oleh Kamal, Arman amat bersyukur kerana dirinya masih mempunyai bapa hingga kini. Dia juga sedikit terkilan kerana mendoakan supaya Mak Munah tidak berkahwin dengan Pak Jamil. “Kalau Mak Munah dan Pak Jamil kahwin dulu, tentu terbela dan terjaga sikit si Kamal ni”, bisik hati Arman sendiri. Dia lebih sanggup tidak bertemu jodoh dengan Milah, asalkan Kamal bahagia. Asalkan nasib Kamal terbela. Asalkan Kamal tidak menanggung derita seperti sekarang ini. Itu pun kalau dia berfikiran sedemikian dahulu. Tapi Arman tak buat apa-apa pun. Dia hanya berdoa di dalam hati mengharap Mak Munah dan Pak Jamil tidak berkahwin supaya senang urusannya dengan Milah kelak. “Angan Mat Jenin! Hehe”. Dalam keheningan perbualannya dengan Kamal, masih sempat Arman bermonolog di dalam hati. “Ceh, kalau tau dek Kamal aku fikir camtu dulu… jangan harap la dia nak jumpa aku sekarang ni”, hati Arman terus berbisik.

“Kamal, Milah sekarang ni kat mana?”, tanya Arman memecah kesunyian. Kamal menyengetkan sedikit kepala ke kanan. Dahinya berkerut namun mata tetap tajam merenung Arman. “Kau tak tahu ke?”, balas Kamal seakan hairan dengan rakan karibnya yang langsung tidak tahu perihal perkembangan bunga yang satu ketika dahulu menjadi dambaan setiap lelaki dan menjadi idaman pakcik serta makcik Kampung Simpang Tiga untuk dijadikan menantu.

“Oh Milah… dia sekarang ni…”


[Bersambung]